Monday, October 31, 2011

KEMENANGAN UNTUK SELURUH MAHASISWA

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam mengisytiharkan Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang melarang mahasiswa menyatakan sokongan atau bangkangan dalam aktiviti politik sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Wira Low Hop Bing memutuskan seksyen tersebut dalam AUKU itu tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

Hakim Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert membenarkan rayuan empat penuntut jurusan sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menghadapi tindakan disiplin kerana didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Hulu Selangor pada 24 April tahun lalu.
Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adza dalam saman pemula mendakwa mereka menerima notis dari UKM untuk menghadiri Lembaga Disiplin UKM bagi menjawab tuduhan melanggar Sesksyen 15(5)(a) Akta AUKU.

Bagaimanapun, mereka didapati tidak bersalah oleh lembaga itu. Semua mereka telah menamatkan pengajian bulan lalu.

Hakim Low menentang dengan menyatakan larangan itu perlu bagi mengelak ideologi politik meresap di kalangan penuntut yang mudah terdedah, tertakluk kepada tekanan rakan sebaya dan mudah terpengaruh, yang akan menjejaskan peranan utama universiti dalam menyediakan pendidikan.

Hakim Hishamuddin dalam penghakiman 21 muka surat berkata, Seksyen 15(5)(a) adalah tidak rasional kerana ia menghalang pembangunan pemikiran kritis dan asli penuntut di mana objektif institusi pengajian tinggi berusaha untuk mencapainya.

Katanya universiti seharusnya menjadi tapak semaian ahli reformis dan pemikir dan bukan institusi untuk melahirkan penuntut ibarat robot.

Jelas sekali, katanya, peruntukan itu bukan sahaja tidak produktif malah menindas.

Selain itu, katanya, kebebasan bersuara merupakan salah satu hak asasi utama yang dinikmati oleh seseorang individu dan hak itu turut diktiraf dalam pelbagai dokumen hak asasi manusia seperti Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik.

Hishamuddin berkata, ianya adalah asas kepada pewujudan demokrasi dan menghormati nilai diri seseorang dan kebebasan bersuara diberi status terunggul dalam perlembagaan kebanyakan negara.

Katanya, beliau tidak dapat memahami cara mana seseorang penuntut yang menyatakan sokongan atau bangkangan terhadap sebuah parti politik boleh memudaratkan atau membawa kesan buruk kepada ketenteraman awam atau prinisp moral.

Hishamuddin berkata, kebanyakan penuntut universiti sudah mencapai usia matang di mana mereka boleh menjalin perjanjian, saman dan disaman, boleh berkahwin dan memikul tanggungjawab ibu bapa, mengundi sekira mencapai usia 21 tahun.

"Namun secara ironi, mereka dimaklumkan secara sah mereka tidak boleh berkata apa-apa yang boleh dianggap sebagai sokongan atau bangkangan terhadap sebuah parti politik," katanya.

Panel itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 September tahun lalu yang membatalkan saman pemula penuntut berkenaan terhadap kerajaan, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM dengan mencabar tindakan universiti berkenaan mengambil tindakan disiplin.

Hakim Linton dalam penghakiman 15 muka surat berpendapat seksyen itu telah melanggar Artikel 10(1)9a) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kebebasan bersuara dan ekspresi.

Sebuah enakmen perundangan yang melarang penyertaan dalam PRK adalah aspek penting demokrasi dan tidak dalam sebarang standard dikatakan sebagai munasabah," katanya.

Dalam penghakiman menentang, Hakim Low berkata larangan itu adalah bagi melindungi kepentingan penuntut dan institusi berkenaan sebagai perkara menyentuh dasar dan oleh itu ianya adalah munasabah.

Katanya, bukan untuk mahkamah menyatakan undang-undang itu keras dan tidak adil kerana mahkamah hanya diamanahkan dengan tanggungjawab mentafsir undang-undang.

Sebaliknya, Low berkata ia merupakan persoalan dasar yang perlu dihujah dan diputuskan oleh Parlimen.

"Secara tegas antara lain, Parlimen mungkin mahu mempertimbangkan khususnya pindaan Seksyen 15(5) dan Akta itu pada amnya supaya memansuhkan atau menyemak semula," katanya.

Peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili UKM, memberitahu panel itu bahawa beliau mendapat arahan daripada anak guamnya untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Di luar mahkamah, Muhammad Hilman menyifatkan keputusan itu sebagai ‘kejutan dan bersejarah’. - Bernama

BERITA

Semoga kalian sentiasa di bawah lindungan rahmat Allah taala..

KARISMA Nasional: duka cita ingin memaklumkan bahawa seorang akhawat; Siti Nor Ain bt Rosli,
yg menuntut di UiTM Seri Iskandar, berserta keluarga ditimpa kemalangan kereta pada awal pagi Jumaat (28/10) di Lebuhraya Utara-Selatan, kawasan Tapah(dalam perjalanan dari KL ke Penang)..Akibat dari kemalangan itu, Ibu dan salah seorang adiknya telah dijemput bertemu Allah s.w.t., Ukht Nur Ain sendiri mengalami cedera parah di muka, dan ayah dan seorang adiknya lagi mengalami cedera ringan.

Arwah ibu dan adiknya telah diuruskan dan dikebumikan di Tapah, sedang yg lain menerima rawatan di Hospital Besar Ipoh..
Hasil daripada ziarah yg dibuat oleh beberapa orang ikhwah akhawat Perak tengah hari tadi, Ukht Nur Ain bersama ayah dan adiknya dibenarkan keluar hospital dan berehat di rumah saudara di Penang (mungkin org Penang boleh update skitl)

Ayuh ikhwah akhawat sekalian, mari kita sama2 doakan utk kekuatan dan ketabahan jiwa mereka sekeluarga dalam menghadapi ujian ini..
Ikhwah sekalian yg berhajat utk memberi kata2 semangat pada Encik Rosli, boleh hubungi 016-9228250 / 013-9590046

Sekian memaklumkan, wassalam..

Monday, October 3, 2011

Mahasiswa Tuntut Hak Asasi Manusia dilaksanakan


PETALING JAYA, 26 Sept: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menuntut penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi mengkaji garis panduan hak asasi manusia yang diamalkan di Malaysia.

Tuntutan tersebut terkandung dalam deklarasi Mahasiswa yang dicapai sebulat suara di Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 3.0 bermula Sabtu lalu sehingga tengah hari semalam.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Abdul Razab berkata, tuntutan penggubalan Jawatankuasa Khas Parlimen ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pengumuman itu, katanya dilihat sebagai tindakan populis Najib untuk meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum yang dikhuatiri berlaku pada bila-bila masa dari sekarang.

"Dalam masa terdekat kita akan menuntut kerajaan menggubal Jawatankuasa Khas Parlimen untuk menyiasat garis hak asasi manusia dan menilai sama ada benar atau tidak hak asasi manusia ini tertunai di Malaysia," kata beliau pada sidang media sejurus berakhirnya kongres di Yayasan Selangor, dekat sini petang semalam.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan deklarasi mahasiswa mengenai hak asasi manusia itu dibawa ke peringkat antarabangsa untuk dibahaskan dan dibaikpulih.

"Saya tidak menolak kemungkinan isu hak asasi ini dibawa ke peringkat antarabangsa sebab hak asasi ini bagi semua negara banyak yang tercabar. Pemansuhan ISA hanya secebis tapi banyak lagi undang-undang yang menekan termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti yang menghalang kebebasan mahasiswa untuk bersuara.

"Kita boleh bawa ke Suhakam tapi laporan Suhakam boleh dibakul sampahkan seperti yang berlaku sebelum ini," katanya.

Selain itu, deklarasi turut mencakupi tuntutan reformasi politik, ekonomi, sosiobudaya, pendidikan dan kewanitaan.

Deklarasi itu akan didokumentasikan dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri, kerajaan-kerajaan negeri, parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam masa terdekat.

"Selain Perdana Menteri, kami akan serahkan deklamasi ini kepada semua pihak baik kerajaan BN atau Pakatan Rakyat dan kepada NGO-NGO.

"Deklarasi ini sebagai pengetahuan di peringkat kerajaan dan pembangkang bahawa ini menjadi prinsip mahasiswa yang perlu mereka ambil perhatian," tegasnya.

Kongres dua hari itu antaranya diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh beberapa tokoh tanah air iaitu Prof Dr. Aziz Bari (pakar perlembagaan), Senator Mumtaz Md Nawi dan Prof Abu Hassan Hasbullah (pensyarah).

Selain SMM, kongres ini turut mendapat kerjasama Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Malaysia Youth And Students Democratic Movement (Dema), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Pro Mahasiswa Nasional (PRO MN), Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi), Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Gabungan Mahasiswa Insaniah (GMI), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) dan Sister In Movement (SIM)